Selawat Nabi Muhammad SAW.Manusia sangat memerlukan syafaat apabila mereka dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Tiada seorang manusia pun yang terlepas daripada melakukan dosa kecuali Nabi Muhammad SAW.
Syafaat bererti memohon pertolongan pada saat memasuki syurga Allah SWT. Ada beberapa syafaat yang boleh diperoleh manusia dan salah satunya adalah syafaat daripada Nabi Muhammad SAW.
Itu adalah syafaat terbesar diberikan kepada Baginda SAW. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” Rasulullah SAW juga berpesan bahawa Baginda adalah syafaat pertama untuk memasuki syurga.” (Surah al-Mudatthir, ayat 48)
Hanya selawat Nabi Muhammad SAW saja Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya yang Dia lakukan dahulu sebelum memerintahkan manusia melakukannya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzaab, ayat 56)
Begitulah hebatnya amalan berselawat. Jasa yang cukup besar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya adalah Baginda menyebabkan kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam.
Hukum Selawat Nabi Muhammad
Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya.
Antaranya:
- Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
- Membaca Tasyahud (tahiyyat).
- Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
- Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Kelebihan Selawat Nabi
Terdapat banyak kelebihan kita berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan dalam al-Quran dan hadis.
Antara kelebihan berselawat adalah:
- Melaksanakan perintah Allah.
- Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah s.a.w.
- Bersamaan dengan selawat para malaikat.
- Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).
- Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.
- Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.
- Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.
- Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.
- Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.
- Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.
- Allah akan menutupi segala dukacita.
- Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.
- Mendapat darjat al-Sidq.
- Ditunaikan segala hajat.
- Salam sejahtera pada hari kiamat.
- Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.
- Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.
- Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.
- Rasulullah s..a.w. akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.
- Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.
Masa dan Tempat Dianjurkan Untuk Selawat Nabi
Perintah Allah SWT untuk umat berselawat tidak didatangkan dengan waktu-waktu tertentu di dalam syariat Islam.
Justeru, berselawat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa dan ketika yang sesuai untukya atau apabila berkelapangan.
Selain apabila berkelapangan, antara waktu yang sesuai untuk berselawat ialah:
1. Ketika Ingat
- Disunatkan kita berselawat apabila teringatkan Baginda SAW dengan sendiri sama ada apabila kita membaca seperti seperti membaca Al-Quran, buku, majalah dsb.
- Bahkan disunatkan kita berselawat apabila teringatkan baginda di kala berasa susah hati atau senang hati atau ketika sakit atau melihat orang sakit.
- Sehinggakan apabila telinga kita berdesing, disunatkan juga berselawat.
2. Ketika Sebut
- Disunatkan kita berselawat apabila menyebut nama atau gelaran Baginda SAW atau mendengar orang menyebut nama atau gelaran Baginda SAW baik dalam berbual, khutbah atau ceramah.
- Orang yang tidak selawat nabi dilabelkan kedekut dan sombong kepada Rasulullah lantaran mudahnya berselawat dan besarnya ganjaran berselawat.
3. Ketika Amal
- Ada juga orang yang sememangnya suka melazimkan selawat nabi sebagai tanda kasih kepada Baginda SAW sehinggakan membacanya sebelum, semasa atau selepas berucap, mengajar, bertawaf atau berwudhuk.
- Ada yang beramal membaca selawat nabi setiap selepas solat dan sebelum tidur.
- Bahkan mereka memperuntukkan sebahagian waktu berzikir pada waktu pagi, petang, malam atau dinihari untuk mereka berselawat kepada Rasulullah SAW sebagai tanda kasih kepada Baginda SAW.
4. Ketika Doa
- Disunatkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
- Ini termasuk mendahuluinya ketika membaca doa-doa pendek seperti doa keluar dan masuk masjid.
- Boleh juga bertawassul dengan selawat kepada Nabi Muhammad SAW dalam berdoa kepada Allah SWT.
- Doa tidak dimaqbulkan tanpa berselawat kepada Baginda SAW.
6. Ketika Solat
- Menjadi rukun solat untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW selepas bertasyahhud.
- Bahkan dituntut menyempurnakan selawat nabi tersebut dengan selawat Ibrahimiyyah secara sempurna sebelum mengiringinya dengan doa.
- Boleh juga berselawat sebelum atau selepas solat dan sebagai istighfar.
7. Solat Jenazah
- Menjadi rukun untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di dalam solat jenazah.
- Bahkan dituntut menyempurnakan selawat tersebut dengan selawat Ibrahimiyyah secara sempurna sebelum berpindah ke rukun berdoa untuk jenazah.
8. Akhir Qunut
- Disunatkan membaca selawat pada akhir qunut apabila kita membacanya baik di dalam solat atau diluarnya.
- Membaca qunut adalah amalan yang disepakati ulamak Fekah untuk dibaca tatkala fintah sedang berleluasa.
- Imam Syafe’i dan mazhabnya menjadikan membaca qunut sunat ab’adh ketika solat subuh di mana sekiranya tertinggal maka pengikut mazhab ini dituntut pula untuk sujud sahwi sebagai gantinya.
9. Selepas Azan
- Mengiringi azan itu sendiri ada jawapan-jawapan yang sunat kita ucapkan.
- Kemudian disunatkan kita berdoa selepas azan dengan doa yang biasa kita dengar dan lafazkan kerana sebenarnya di dalamnya sudah pun mengandungi maksud selawat kepada Nabi Muhammad SAW itu sendiri.
- Bagaimanapun, ada ulamak berpendapat agar didahulukan dengan selawat juga sebelum mebaca doa tersebut.
10. Hari Maulid
- Disunatkan berpuasa pada hari Isnin sebagai mengikuti amalan berpuasa Nabi Muhammad SAW.
- Disunatkan berselawat pada setiap hari Isnin sebagai mengingati maulid Nabi atau pada hari sambutan Maulid sendiri.
11. Hari Jumaat
- Disunatkan memperbanyakkan selawat nabi pada malam dan siang hari Jumaat, penghulu segala hari, hari perayaan mingguan bagi Umat Islam.
12. Dalam Majlis
- Disunatkan berselawat dalam perhimpunan orang ramai sama ada untuk majlis zikir dan selawat atau tidak.
- Ini sesuai dengan kehendak Allah SWT yang menujukan perintah berselawat kepada jemaah.
- Bahkan Allah SWT memuji Baginda SAW dan para malaikatnya mendoakannya dalam majlis selawat di alam tinggi dan memerintahkan kita supaya berselawat supaya sekelian pujia2an kepada Nabi Muhammad SAW bergabung dengan sekelian makhluk yang berselawat kepadanya di alam tinggi dan rendah bersama-sama.
13. Dalam Menulis
- Disunatkan memuji Allah diikuti dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebagai muqaddimah penulisan dan penutupnya.
- Bahkan menyudahi dengan Allahu wa Rasuluhu a’lam juga dianggap baik.
Selawat Nabi
1. Selawat Ibrahimiyyah

Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah melimpahkan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim
Dan limpahkanlah barakah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah melimpahkan barakah ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim, pada sekalian alam. Sesungguhnya engkau adalah maha terpuji, maha mulia
2. Selawat al-Imam an-Nawawi

Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Muhammad hambaMu dan pesuruhMu, nabi yang buta huruf (yakni tiada tahu membaca atau menulis), dan ke atas keluarga Muhammad dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah melimpahkan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim.
Dan limpahkanlah barakah ke atas Muhammad, nabi yang buta huruf (yakni tiada tahu membaca atau menulis), dan ke atas keluarga Muhammad dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah melimpahkan barakah ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim.
3. Selawat yang diajarkan oleh Jibril

Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Muhammad, nabi yang buta huruf (yakni tiada tahu membaca atau menulis) dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Dan limpahkanlah barakah ke atas Muhammad, nabi yang buta huruf (yakni tiada tahu membaca atau menulis) dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah melimpahkan barakah ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Terpuji, Maha Mulia.
Ya Allah, dan limpahkanlah rahmat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan rahmat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Terpuji, Maha Mulia.
Ya Allah, dan limpahkanlah belas kasih sayang ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan belas kasih sayang ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Terpuji, Maha Mulia.
Ya Allah, dan limpahkanlah salam ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan salam ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Terpuji, Maha Mulia.
Sumber: Himpunan Selawat